ATM Bank Rakyat jadi tukun tiruan
PULAU TIOMAN: Bukan setakat membantu golongan memerlukan, Bank Rakyat kini melangkah setapak ke depan menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya dengan menyemai rasa cinta dan tanggungjawab kepada alam sekitar terutama penjagaan lautan. Berbekalkan matlamat itu, bertempat di Pantai Pesisiran Kampung Genting di sini, Bank Rakyat melabuhkan tukun tiruan yang diperbuat daripada mesin juruwang automatik (ATM) miliknya di dasar laut supaya menjadi tempat pembiakan ikan dan terumbu karang di pulau antara 10 tercantik di dunia itu.
Ketua Wilayah Selatan Bank Rakyat, Nazaruddin Zainal Abidin, berkata usaha berkenaan yang pertama seumpamanya dilakukan institusi kewangan di negara ini adalah khusus bagi pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan laut, terutama terumbu karang yang terkenal di pulau peranginan itu.
“Program itu adalah lanjutan daripada usaha bank itu melabuhkan tukun sama di Taman Laut Pulau Perhentian, Terengganu pada April lalu,” katanya ketika merasmikan program itu, di sini, kelmarin.
Menerusi program berkenaan, tukun tiruan daripada mesin ATM terpakai Bank Rakyat yang sudah diubah suai bagi menyesuaikannya dengan habitat asal hidupan dan terumbu karang dilabuhkan kira-kira 500 meter dari pantai bertujuan menjadikannya tempat pembiakan khazanah laut.
“Tahun lalu, kami turut mengadakan program menyemai karang laut di Pulau Redang, Terengganu serta melabuh tukun tiruan di Pulau Payar, Langkawi serta di Pulau Karuman dekat Labuan,” katanya.
1 comment:
wow...bagus2...patutnya setiap dr kita kena sedar kepentingan pelihara laut ni...bukan senang nak wujud khazanah laut yg amat bernilai ni
Post a Comment